Malaysia tiada cadangan rangkaian kereta api Sabah-Sarawak-Kalimantan

Gambar hiasan semata-mata. Foto adalah hakmilik pemunya dan kredit kepada pemilik asal.

KUALA LUMPUR—Kementerian Pengangkutan (MoT) belum mempunyai cadangan untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan rangkaian kereta api yang menghubungkan Sarawak dan Sabah ke ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sebarang cadangan bagi ketersambungan pengangkutan darat dan udara dari Sarawak dan Sabah ke ibu negara baharu Indonesia itu perlu disokong dengan statistik unjuran penumpang supaya perancangan terperinci dapat disediakan.

“Di Sarawak, ketika ini tumpuan sedang diberikan kepada penyediaan rangkaian rel bandar di bawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang diterajui Sarawak Metro.


Gambar hiasan semata-mata. Foto adalah hakmilik pemunya dan kredit kepada pemilik asal.


"Sementara di Sabah tumpuan sedang diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur kereta api serta mutu perkhidmatan kereta api yang diterajui Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS)," katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Mengenai sebarang projek pembangunan atau menaik taraf mana-mana lapangan terbang, Wee berkata ia perlu dilaksanakan bersandarkan konsep bukti perancangan dalam pembangunan sektor pengangkutan bagi memenuhi keperluan pemasaran.

"Justeru, adalah penting bagi pihak MoT memastikan bahawa unjuran peningkatan permintaan penumpang adalah tepat bagi membolehkan projek yang dirancang berdaya maju dan berdaya tahan," katanya.

Beliau berkata ketika ini, MoT melaksanakan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang meliputi kajian semua pembangunan lapangan terbang dan padang terbang (STOLport) di Malaysia yang dijadual akan siap pada pertengahan tahun depan selaras Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

"Kajian ini bertujuan menentukan hala tuju lapangan terbang di Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur fizikal, keperluan ruang udara, kajian ekonomi dan strategik agar pembangunan sesebuah lapangan terbang dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar.

"Buat masa ini, fasiliti lapangan terbang Sarawak dan Sabah boleh menampung sebarang peningkatan penumpang dan kekerapan penerbangan dalam masa terdekat," katanya.


Beliau bagaimanapun, berkata MoT menggalakkan dan akan memberi fasilitasi kepada mana-mana syarikat penerbangan tempatan mahupun asing yang berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi laluan ke Nusantara kelak.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post