NEM tawar kuota 70MW tenaga solar, Ali Biju
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju. Gambar kredit BERNAMA |
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju berkata jumlah kuota itu boleh menampung sehingga 20,000 pengguna domestik melalui pemasangan solar fotovolta (PV).
Beliau berkata program itu masih tidak mendapat sambutan rakyat yang belum mendapat kesedaran manfaat penggunaan tenaga solar.
“Sebenarnya ramai rakyat tidak sedar akan manfaat program ini yang membolehkan pengguna mendapat pengurangan bil elektrik sehingga 30-80 peratus,” katanya.
“Pengguna juga boleh membiayai kos pemasangan sistem solar ini melalui pakej pembiayaan yang disediakan oleh pembekal solar iaitu bayaran tunai, bayaran fleksibel tanpa faedah dan pinjaman bank”, katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.
Ali berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Husain Awang yang ingin tahu mengenai penghalang penduduk di negara untuk memasang sistem solar di rumah mereka.
Sementara itu Ali berkata kerajaan menyasarkan untuk menaik taraf penggunaan tenaga solar dalam negara kepada 10 peratus pada masa akan datang.
“Ini memang hala tuju yang kita akan capai iaitu meningkatkan tenaga solar sehingga 10 peratus di negara ini,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang ingin tahu mengenai usaha kerajaan dalam menggalakkan lebih ramai pengguna panel solar di rumah mereka.
-- BERNAMA