Mayat mangsa serangan buaya dijumpai dalam keadaan putus tangan kanan


MIRI: Mayat wanita berusia 43 tahun yang dibaham buaya di alamat Sungai Telong, Batu Niah di sini semalam berjaya ditemui dalam keadaan tidak sempurna petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) bomba berkata, mayat mangsa ditemui di kawasan sungai Telong Merah pada jam 1.30 petang oleh beberapa orang penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.


Mayat mangsa katanya, dijumpai dalam keadaan tidak berpakaian dan tangan sebelah kanan terputus pada jarak kira-kira 300 meter ke hulu dari tempat kejadian

"Penduduk kampung terus memaklumkan kepada pasukan bomba mengambil mangsa di lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sementara itu kata PGO, pasukan operasi telah membuat pencarian menerusi kaedah pencarian secara permukaan dan mengalami kesukaran untuk pergi jauh ke hulu atau hilir disebabkan air cetek pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam, mangsa dikatakan diheret seekor buaya masuk ke dalam sungai berkenaan sebelum hilang tanpa kesan.


Komander Operasi, PBTlI Rery Binjie yang mengesahkan kejadian berkata, menurut laporan pengadu, mangsa telah dibaham buaya semasa melakukan aktiviti menangkap ikan di sungai.

Sejurus panggilan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat.
Next Post Previous Post