Ketua balai polis nafi terima rasuah payung pusat hiburan


MELAKA— Seorang ketua balai polis di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas dakwaan menerima rasuah daripada seorang pemilik pusat hiburan dua tahun lepas.

Abdul Halim Alias, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas lima pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tertuduh yang berpangkat Sub Inspektor itu didakwa meminta, bersetuju menerima dan memperoleh wang suapan berjumlah keseluruhan RM21,800 daripada pemilik Restoran The Stage Music Lounge Plt, Hang Kah Joon antara 4 Ogos dan 11 Ogos 2020.

Suapan itu dilakukan sebagai suatu dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pusat hiburan tersebut atas kesalahan melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tertuduh didakwa meminta wang tunai RM8,000 daripada pemilik premis hiburan berkenaan pada 4 Ogos 2020.

Tertuduh turut didakwa meminta wang tunai RM1,000 secara bulanan daripada Hang supaya tidak mengambil tindakan atas pusat hiburannya itu.

Tiga lagi pertuduhan turut dihadapi Abdul Halim di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana bersetuju dan memperoleh sejumlah suapan daripada individu yang sama antara 4 Ogos dan 11 Ogos 2020 di premis hiburan tersebut serta bilik pejabat Balai Polis Tengkera, Melaka Tengah.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka setiap bulan sehingga kes selesai. 

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bersetuju dengan tawaran tersebut.

Elesabet pada penghakimannya menetapkan tertuduh diikat jamin RM5,000 berserta syarat tambahan dan menetapkan 20 April sebagai sebutan semula kes. 

-- BERNAMA
Next Post Previous Post