Kes kehilangan Eric: Penjaga direman sehingga 24 Mac


KUCHING—Penjaga kepada Eric Chang Wei Jie, kanak-kanak berusia empat tahun yang dilaporkan hilang sejak 7 Mac lalu direman sehingga 24 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, pada pagi esok penjaga itu akan direman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Perkembangan kes kehilangan Eric, penjaga direman sehingga 24 Mac ini," katanya hari ini.

Sebelum ini, Ahsmon berkata, penjaga kanak-kanak tersebut masih ditahan reman sehingga 16 Mac dan akan direman untuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Manakala ibu bapa Eric, katanya mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ahsmon sebelum ini memberitahu, kes kehilangan kanak-kanak di Bintawa itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Katanya, perkembangan siasatan kes kehilangan Eric kini diklasifikasikan semula dari Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

"Berdasarkan siasatan terkini, polis telah mengklasifikasi semula kes yang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya.

Tegasnya, dua suspek iaitu pasangan penjaga yang telah ditangkap akan diteruskan reman untuk siasatan lanjut.

Usaha pencarian diperluaskan dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin Wilayah 5 Kuching Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan agensi luar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan sungai Muara Tebas dan kawasan sekitar.
Next Post Previous Post