Kes harian menurun bawah 23,000

Gambar arkib Twitter Noor Hisham

KUALA LUMPUR-- Kes harian baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam menurun kepada 22,535 kes berbanding 26,250 pada Sabtu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya daripada jumlah keseluruhan kes itu semalam, 8,637 kes atau 38.33 peratus adalah kategori satu, 13,713 kes atau 60.85 peratus dalam kategori dua manakala kategori tiga, empat dan lima berjumlah 185 kes atau 0.82 peratus.

Dalam kenyataan hari ini mengenai perkembangan harian pandemik COVID-19 dalam negara, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,757 kes dimasukkan ke hospital dengan 721 atau 41 peratus daripadanya adalah individu dalam kalangan kategori tiga, empat dan lima manakala 1,036 kes (59 peratus) merupakan pesakit kategori satu dan dua.

Berhubung kadar kebolehjangkitan (Rt) yang dicatatkan di seluruh negara semalam, Dr Noor Hisham berkata ia turut mencatatkan penurunan kepada 0.97 berbanding 0.99 pada Sabtu. 

Mengenai penggunaan katil COVID-19 bagi kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital Kementerian Kesihatan, beliau memaklumkan enam negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus semalam iaitu Putrajaya 100 peratus, Kelantan (75 peratus), Johor dan Kuala Lumpur masing-masing 73 peratus, Selangor (58 peratus) dan Perlis sebanyak 55 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat peningkatan bagi pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) melibatkan 222 pesakit atau 25 peratus berbanding 211 pesakit atau 24 peratus pada Sabtu (12 Mac).

-- BERNAMA
Next Post Previous Post