Kanak-kanak rentung, kilang terbakar

Kebakaran di sebuah kilang pembuatan getah sintetik di Kawasan Perindustrian Bakar Arang hari ini. Gambar kredit Bomba Kedah

SUNGAI PETANI— Seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia 11 tahun maut dalam kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses getah tiruan (sintetik) di Kawasan Perindustrian Bakar Arang dekat sini, kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim berkata mayat Misha Kasih ditemukan dalam keadaan rentung di tingkat dua bangunan pejabat kilang berkenaan.

“Pengurus kilang memberitahu bahawa Misha merupakan cucu angkat kepada keluarga mereka, yang dipelihara sejak kecil, iaitu selepas ibu kanak-kanak itu pulang ke negara asalnya dan meninggalkan Misha, untuk dijadikan anak angkat secara sah.

“Kanak-kanak itu kemudiannya telah diserahkan kepada keluarga beragama Islam untuk dijaga namun sering dibawa oleh pengurus kilang ke tempat kerja untuk bermain dan tidur di situ bersama anaknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata ketika kejadian anak pengurus kilang itu yang tidur di dalam sebuah bilik di bangunan kilang terbabit sempat menyelamatkan diri, namun Misha gagal ditemui ketika itu.

Anuar berkata kebakaran itu memusnahkan hampir 95 peratus kilang, yang telah beroperasi sejak hampir 20 tahun lepas.

Katanya mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk proses bedah siasat.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 4.11 pagi.

“Sebaik jentera bomba tiba di lokasi didapati api sedang marak, ia berjaya dikawal pada pukul 5.10 pagi. Mayat kanak-kanak itu telah dijumpai pada pukul 7.30 pagi,” katanya.

Katanya jumlah kerugian dianggarkan RM16.35 juta dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

—BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.