JKDM patah cubaan seludup 6 kontena minuman keras

Gambar arkib JKDM

PELABUHAN KLANG—Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) mematahkan cubaan menyeludup enam kontena minuman keras dianggarkan bernilai RM396,000 menerusi beberapa serbuan di Pelabuhan Utara pada Februari lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan/ Pematuhan) Datuk Abdullah Jaapar berkata kira-kira 155,040 liter minuman keras dirampas dalam serbuan yang dijalankan di sekitar Pelabuhan Utara di sini antara 14 dan 22 Feb lepas.

Katanya, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai bertindak sebagai ejen.

“Enam kontena telah ditahan dengan muatan minuman keras dipercayai merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/ Bahagian 1. Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Jumlah duti/ cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM2,294,001.60. Ada di antara barang tersebut diletakkan di sebalik barang lain bertujan untuk mengaburi mata pihak berkuasa ketika pemeriksaan dibuat,” katanya dalam sidang media JKDM di Wisma Kastam Pulau Indah, di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi  jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain dengan menyalurkan maklumat berkaitan ke talian bebas tol kastam di 1-800-88-8855.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post