JHS belajar tangkap pesalah hutan

Gambar kredit FB JHS

MIRI—Seramai 33 pegawai penyiasat pelbagai gred Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya menamatkan Kursus Pengendalian Suspek Semasa Siasatan dan Kemahiran Soal Siasat selama tiga hari, yang berakhir semalam.

JHS dalam laman Facebook semalam berkata, kursus itu antara lain bagi memantapkan kemahiran pegawai penyiasat dalam mengendalikan suspek khususnya berkaitan kesalahan hutan.

Dalam masa sama bagi mempelajari prosedur soal siasat suspek serta mendapatkan penemuan dan bahan bukti bagi kelancaran pendakwaan kes.

Berucap pada majlis penutupan, Timbalan Pengarah Hutan Sarawak (Pengurusan Hutan), Abang Ahmad Abang Morni berkata, menjadi tanggungjawab mereka untuk membanteras jenayah hutan yang berlaku.

“Pegawai penyiasat bertanggungjawab menjaga keselamatan serta kelestarian hutan di negeri ini dengan mengheret pesalah hutan ke muka pengadilan dengan bukti yang kukuh," ujarnya.

Beliau berharap kursus itu dapat menjadikan jabatan itu lebih efisyen dalam melaksanakan penguatkuasaan pada masa akan datang.

Kursus berkenaan turut mendapat kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Next Post Previous Post