Jenazah balu bekas timbalan ketua menteri pertama Sarawak selamat dikebumikan


LIMBANG— Jenazah balu kepada Datuk Amar James Wong Kim Min bekas Timbalan Ketua Menteri Pertama Sarawak, Datin Amar Valerie Bong selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Anglican, Jalan Pandaruan pagi ini.

Jenazah mendiang diarak mengelilingi bandar Limbang sebelum dikebumikan dalam cuaca hujan kira-kira jam 10 pagi tadi.


Jenazah mendiang diterbangkan dari Kuching selamat tiba di Limbang pada Jumaat untuk memberi peluang kepada masyarakat di bahagian ini termasuk wakil rakyat, ketua masyarakat, ketua jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan memberi penghormatan terakhir di kediaman mendiang di Batu 2 ½ Jalan Pandaruan dekat sini.

Datin Amar Valerie Bong menghembus nafar terakhir pada usia 98 tahun dan meninggalkan lapan anak iaitu lima perempuan dan tiga lelaki.


Suami mendiang Datuk Amar James Wong Kim Min merupakan bekas presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) meninggal dunia pada Julai 2011 pada usia 89 tahun.

Mereka telah berkahwin pada tahun 1940-an.

Mendiang Datuk Amar James Wong Kim Min amat disegani dan dikenali sebagai bapa permodenan Limbang.


Beliau banyak membantu memajukan bahagian ini setanding dengan bahagian lain di negeri ini melalui perlaksanaan banyak projek pembangunan utama yang menjadi mercu tanda di bandar Limbang.

Antaranya Kolam Renang Limbang, Jambatan Batu Danau, Pasar Limbang, Tamu Limbang, Lapangan Terbang Limbang, Dataran Jubli Tebingan Sungai Limbang dan Kompleks Sukan Limbang.
Next Post Previous Post