Hilang harapan keluarga, remaja rider Foodpanda maut ketika mencari rezeki

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian

KUCHING—Hati ibu mana tidak luluh apabila anak yang menjadi tulang belakang keluarga kini pergi selamanya selepas tragedi hitam meragut nyawanya, hari ini.

Yuhanis Abdullah,20, maut selepas motosikalnya ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas di Jalan Samariang, berdekatan MCD Samariang ketika sedang mencari rezeki untuk keluarganya.

Difahamkan, remaja lelaki itu merupakan anak sulung yang menyara ibu dan seorang adik perempuan yang masih bersekolah manakala arwah ayanhnya telah lama meninggal dunia.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, laporan kemalangan telah diterima pihaknya sekitar jam 11.35 pagi tadi.

Katanya, lanjut di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku melibatkan seorang penunggang motosikal yang merupakan penghantar makanan Food Panda.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila remaja itu yang datang dari arah lampu isyarat Jalan Sultan Tengah menghala ke Bulatan Semariang hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan sebelum melanggar tiang lampu di pembahagi tengah jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Alexson, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu katanya, mangsa juga didapati tidak mempunyai lesen kenderaan dan jasadnya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pelaksanaan ujian Covid -19 sebelum bedah siasat dijalankan.

"Waris remaja itu juga telah dimaklumkan berhubung kemalangan tersebut dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.
Next Post Previous Post