Elisa kuat dan tabah demi dua adiknya meskipun kehilangan ibu bapa
Tiga beradik berkenaan yang kini yatim piatu, Elisa Olivia Damian, 10, Joseph Rayyan Damian, 8, dan Magdalena Damian, 2, pulang ke Sarawak bersama bapa saudara mereka, Robert Adi, 43, dan isterinya Kelly Jhon, 36 tahun.
Robert merupakan abang kepada mendiang ibu Elisa yang kini diberi hak penjagaan sementara tiga beradik tersebut.
Sebaik sahaja tiba di LTAK sekitar jam 11.30 pagi tadi, Ellisa dilihat mendukung dan memimpin adiknya Magdalena dan Rayyan.
Dalam insiden itu, Damian dan Ronwina Mambai yang berasal daripada Simunjan meninggal dunia dipercayai akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Taman Tringkap Puncak, Cameron Highlands, pagi Khamis lalu.
Berkongsi detik hitam itu, Elisa berkata, semasa kejadian dia dan dua adiknya berada di luar sebelum menjumpai ibu dan bapa mereka yang terkena renjatan elektrik di dalam bilik air.
"Saya kemudian menghubungi sepupu emak untuk memberitahu apa yang terjadi dan dia mengarahkan saya untuk menutup suis utama elektrik dan memaklumkan kepada jiran.
"Selepas itu, saya bergegas naik ke tingkat atas untuk memaklumkan kejadian itu kepada jiran," kata Elisa dengan berlinangan air mata menahan sebak.
Tambahnya, jiran mereka kemudian bertindak menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan.
Ketibaan tiga beradik yang ditemani penjaga mereka di LTAK turut disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang.
Dr Simon ketika ditemui pemberita mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan dan menjaga tiga beradik tersebut.
"Saya mewakili ahli keluarga kedua-dua mangsa mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem, Sarawak Volunteers dengan bantuan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur dan semua pihak yang terlibat.
"Sama-sama kita berdoa agar keluarga ini terutamanya anak-anak mangsa mendapat bantuan dan pertolongan yang sebaiknya," ujarnya.
Jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau dan memberi khidmat kaunseling kepada anak-anak mangsa yang terkesan dengan insiden ini.
Difahamkan, pihak JKM akan membantu menguruskan bantuan bulanan kepada ketiga-tiga adik beradik itu sehingga berusia 18 tahun termasuk persekolahan mereka.