Ditahan ketika sedang minum arak curi


MIRI—Keseronokan seorang pemuda menikmati arak yang dicuri berakhir apabila ditahan polis selepas dua jam melakukan jenayah itu di sebuah premis di Jalan Hokkien di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Delight kira-kira jam 8 malam.


“Terdahulu pada jam 6 petang, polis menerima laporan suspek telah masuk ke dalam sebuah kedai dan melarikan dua botol arak.

“Kejadian itu berjaya dirakamkan melalui kamera litar tertutup premis berkenaan. Dalam rakaman itu, suspek hanya berjalan selamba tanpa berhenti di kaunter pembayaran premis tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah hasil maklumat, polis kemudian menyerbu sebuah rumah dan menahan suspek.

“Turut ditemui dua botol arak bernilai RM69.10. Suspek ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Next Post Previous Post