Disangkakan kemalangan kendiri, anggota polis ditemukan mati dipercayai ditembak di rusuk kiri

Gambar kredit kepada pemilik

MIRI - Seorang anggota polis ditemukan maut di tempat duduk pemandu sebuah kereta pacuan empat roda miliknya pada jam 7.50 malam Khamis, di Jalan Riam, dengan kecederaan dipercayai kesan tembakan pada rusuk kiri.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari yang mengesahkan kejadian itu berkata polis menerima panggilan telefon dari orang awam sekitar jam 8.30 malam memaklumkan menjumpai sebuah pikap terbabas dan melanggar sebatang pokok.


“Sepasukan Polis daripada IPD Miri telah bergegas ke tempat kejadian dan hasil siasatan awal mendapati seorang anggota Polis telah meninggal dunia di tempat kejadian serta mempunyai kesan tembakan.

“Pihak Polis masih menjalankan siasatan mendalam ke atas kes ini untuk mengenalpasti punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 
Sehubungan itu, Hakemal menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sah di media sosial atau membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan pihak polis.


Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi Insp. Mohd Firdaus Hanafiah Bin Zulkifley di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

Terdahulu ketika dihubungi pagi tadi, Hakemal memberitahu setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut, kerana pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dan pihak perubatan sedang menjalankan siasatan.


Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

"Kita tunggu keputusan hasil bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian," ujarnya.
Next Post Previous Post