Curtin Malaysia dan Vietnam kongsi kepakaran penyelidikan lada hitam

Profesor Leunig (tengah) menunjukkan dokumen selepas memeterai MoU secara talian. Kelihatan sama Ramasamy dan Profesor Agus.

MIRI– Universiti Curtin Malaysia (Curtin Malaysia) dan Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Lada (PRDC) Vietnam jalin kerjasama membabitkan penyelidikan dan pembangunan lada hitam.

Curtin Malaysia menerusi Institut Penyelidikan Curtin Malaysia (CMRI) akan menjalankan penyelidikan ke atas lima jenis lada hitam dari Vietnam, menganalisa sampel bahan kimia dan mikrobiologikal, analisis data dan permodelan.

Penyelidikan itu menggunakan kaedah teknologi pengimejan ‘AgriSmartEye’ yang dibangunkan oleh CMRI dan dilaksanakan bermula bulan ini.

Teknologi ini mampu mengesan bahan sampingan dalam lada dan asal sampel lada tersebut.

Nguyen di Vietnam menandatangani dokumen MoU sambil disaksikan Duong. Gambar kredit Curtin Malaysia

Penyelidikan awal dan ujian makmal dibiayai oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) dan rakan kongsi semasa dalam pembangunan teknologi dan prototaip termasuk Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Lembaga Lada Malaysia.

Manakala PRDC pula berkongsi pengetahuan dalam penyelidikam berkaitan pembiakan lada hitam, perlindungan daripada penyakit, kaedah penanaman, tekonologi lepas tuai dan strategi pengeluaran lada hitam.

Pro Naib Canselor Curtin Malayaisa, Presiden dan Ketua Eksekutif
Profesor Simon Leunig berkata, kerjasama itu bukan hanya memanfaatkan universiti malah sektor penanaman lada hitam di Sarawak.

“Saya amat mengalu-alukan kerjasama ini memandangkan kedua-dua negara Vietnam dan Malaysia khususnya Sarawak masing-masing mempunyai kepakaran yang jika digabungkan memberikan manfaat besar.

“Lada hitam merupakan komoditi pertanian penting di Sarawak dan menyumbang kepada lebih 95 peratus industri lada Malaysia.”

Leunig berkata demikian berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Curtin Malaysia dan PRDC secara talian baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan dan Pengarah Sekolah Siswazah Curtin Malaysia Profesor Agus Saptoro.

Curtin Malaysia diwakili Leunig dan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan merangkap Pengarah CMRI Profesor Ramasamy Nagarajan sementara PRDC pengarahnya Nguyen Quang Ngoc dan Ketua Bahagian Loji Pembiakan Duong Thi Oanh.

Nguyen Quang Ngoc berkata, pihaknya amat mengalukan kerjasama dengan pasukan CMRI dalam meningkatkan pemantauan dan ujian biji lada hitam di Vietnam.

“Selain lada hitam, PRDC berharap untuk mengembangkan penyelidikan kepada tanaman lain seperti kopi dan makadamia,” katanya.

PRDC yang terletak di bandar Pleiku, wilayah Gia Lai di tengah Vietnam merupakan sebahagian Western Highlands Agriculture and Forestry Science Institute (WASI) yang ditubuhkan oleh Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Vietnam.

Untuk rekod, Vietnam merupakan salah sebuah pengeluar lada terbesar di dunia melebih 280,000 metrik ton setahun pada 2021.
Next Post Previous Post