Budak perempuan 12 tahun antara 4 korban baharu COVID-19 di Sarawak

Gambar hiasan

KUCHING—Seorang budak perempuan berusia 12 tahun dari Miri antara empat kes kematian akibat jangkitan COVID-19 yang dilaporkan di Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kes melibatkan kanak-kanak itu dilaporkan di Hospital Miri selepas jenazahnya dibawa ke situ pada 20 Mac lalu yang mana pesakit tidak mempunyai sejarah penyakit yang diketahui.

"Tiga lagi kes kematian melibatkan golongan warga emas berusia 67, 81 dan 87 tahun masing-masing di Kuching, Limbang dan Sri Aman yang dilaporkan antara 23 hingga 24 Mac 2022.

"Kesemua pesakit mempunyai sejarah penyakit atau komorbid," katanya dalam kenyataan hari ini.

JPBNS turut memaklumkan Sarawak hari ini merekodkan 960 kes positif baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 294,799.

Daripada jumlah itu, kategori satu (tiada gejala) 232 kes, kategori dua (gejala ringan) 719 kes, kategori tiga (jangkitan paru-paru) tiga kes, kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dua kes dan kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator) empat kes.

Jelasnya, Kuching kekal menjadi daerah yang merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 325 diikuti Bintulu 104 kes, Miri 102 kes, Sibu 84 kes, Samarahan 61 kes Serian 46 kes, Bau 31 kes dan Sri Aman 24 kes.

Sementara daerah lain merekodkan kes di bawah 20 kecuali Selangau, Julau, Song dan Bukit Mabong tiada kes dilaporkan.

Selain itu, JPBNS memberitahu tiada kluster baharu dikesan di negeri ini menjadikan jumlah kluster aktif kekal lapan.
Next Post Previous Post