APM rancang buka lebih 20 cawangan di Sarawak

APM rancang buka lebih 20 cawangan di Sarawak. Gambar kredit BERNAMA

KUCHING—Angkatan Pertahanan Awam (APM) merancang membuka lebih 20 lagi cawangan pejabat pentadbirannya di daerah penuh di Sarawak.

Pengarah Pertahanan Awam Sarawak Mohtar Samat berkata ketika ini pihaknya mempunyai cawangan pejabat pentadbiran di 21 daripada 45 daerah di Sarawak.

"Kita perlukan lebih 20 (cawangan pejabat pentadbiran APM di daerah penuh Sarawak), lagi untuk mencukupi. Walaupun itu mengambil masa, tetapi perancangan itu ada," katanya selepas merasmikan Hari Ulang tahun Pertahanan Awam Ke-70 di Pusat Pertahanan Awam Negeri Sarawak (PUSPA) Jalan Bako, di sini, hari ini.

Mohtar berkata pembukaan cawangan pejabat terbabit juga akan bergantung kepada keutamaan dan keperluannya di daerah yang kerap dilanda bencana.

"Tahun ini, kita merancang (pembukaan cawangan pejabat pentadbiran APM) di Simunjan, Selangau dan Pakan," katanya.

Beliau berkata dengan adanya cawangan pejabat itu, APM di Sarawak akan lebih mudah menggerakkan anggotanya sekira berlakunya sebarang bencana.  

Mohtar berkata APM hanya memerlukan seramai 1,200 anggota bagi menjalankan operasinya di Sarawak ketika ini dan pihaknya juga tidak berdepan kesukaran menarik golongan muda tempatan menjadi anggota mereka.

"Untuk logistik mungkin ada isu sedikit, tetapi berdasarkan perolehan kerajaan, kita akan cuba mengatasinya secara perlahan-lahan," tambahnya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post