1.85 juta benih ikan dilepaskan ke perairan umum negara hari ini

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semasa acara melepaskan kira-kira 100,000 benih ikan seperti kelah, temoleh, siakap dan lampam sungai di Tasik Putrajaya, Presint 2 hari ini. Gambar kredit DOF

PUTRAJAYA— Sebanyak 1.85 juta benih ikan bernilai lebih RM900,000 dilepaskan ke perairan-perairan umum Malaysia hari ini bagi menambah stok perikanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang menyertai program pelepasan benih ikan itu di Tasik Putrajaya, Presint 2 di sini hari ini berkata pertambahan stok ikan di perairan umum adalah antara usaha untuk meningkatkan jaminan bekalan makanan.

"Pelepasan benih ikan adalah langkah memastikan stok ikan darat sentiasa ada," katanya kepada pemberita selepas melepaskan kira-kira 100,000 benih ikan seperti kelah, temoleh, siakap dan lampam sungai ke tasik berkenaan.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan (DOF), sebanyak 44.7 juta benih ikan bernilai lebih RM50 juta telah dilepaskan ke perairan umum Semenanjung Malaysia dan Sarawak dari 2016 hingga 2021.

Ronald berkata usaha pelepasan ikan di Tasik Putrajaya umpamanya adalah juga usaha untuk melestarikan alam sekitar serta pemuliharaan sumber dan biodiversiti perikanan darat.

Pada program berkenaan, penyanyi tersohor Datuk Jamal Abdillah yang mengusahakan ladang ternakan ikan arowana di Perak dilantik sebagai Ikon Konservasi Sumber Perikanan dan beliau akan terlibat dalam usaha mempromosikan aktiviti perikanan terutamanya dalam industri ikan hiasan dan produk hiliran.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber DOF Bohari Leng berkata orang awam yang memiliki spesies ikan asing sebagai ikan peliharaan diingatkan agar tidak melepaskan ikan tersebut ke perairan umum kerana dikhuatiri ikan asli akan menjadi mangsa kepada ikan asing yang bersifat agresif.

"Ikan asing boleh jadi dominan dalam ekosistem perikanan sebab ia cepat membiak dan membesar serta mengancam sumber ikan asli. Jika ternak dalam kolam sahaja tidak ada masalah,” katanya sambil memberikan contoh ikan asing adalah seperti jenis peacock bass, ikan baung merah dan ikan keli Afrika.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post