3 sedang leka hisap dadah ditahan polis


JITRA— Polis menahan tiga individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM186,200 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Kesop, Jalan Sungai Korok, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata operasi pada pukul 1 tengah hari itu dijalankan berdasarkan intipan dan maklumat awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan tersebut.

“Anggota polis berjaya menahan kesemua suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 23 hingga 30 tahun yang ketika itu didapati sedang menghisap dadah di dalam rumah sewa tersebut dan merampas dadah jenis heroin seberat 1,630 gram dan syabu seberat 1,373 gram serta wang tunai berjumlah RM343.

“Kita juga menyita sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan dua buah motosikal yang dianggar bernilai RM24,200...nilai keseluruhan rampasan dadah dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM210,400,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rodzi berkata hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek yang merupakan kenalan dan berasal dari daerah ini turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan aktif dalam pengedaran bahan terlarang itu sejak lapan tahun lepas.

Beliau berkata ujian air kencing pula mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine.

Tambah Rodzi, berdasarkan siasatan suspek menjadikan rumah sewa itu sebagai tempat penagihan dan juga lokasi transit aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

Katanya, semua suspek kini direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post