Untung bersih Bintulu Port melonjak


KUALA LUMPUR -- Keuntungan bersih Bintulu Port Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021 (TK2021) melonjak kepada RM363.19 juta daripada RM93.30 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Hasilnya meningkat RM21.08 juta, atau 2.98 peratus,  kepada RM728.39 juta berbanding RM707.31 juta sebelumnya, disumbangkan oleh perkhidmatan pelabuhan.

Syarikat itu berkata hasil yang dijana daripada perkhidmatan pelabuhan di Bintulu Port ialah RM548.12 juta, berbanding RM549.82 juta pada tahun sebelumnya.

"Pelabuhan Perindustrian Samalaju menjana hasil RM136.9 juta berbanding RM111.08 juta yang dijana dalam tempoh 12 bulan tahun sebelumnya, manakala hasil daripada kemudahan pukal ialah RM43.37 juta berbanding RM46.42 juta dalam tempoh tinjauan. ," katanya dalam makluman di bursa saham.

Bintulu Port menyatakan bahawa perbelanjaan dalam tempoh tinjauan sebanyak RM633.13 juta adalah lebih tinggi sebanyak RM20 juta berbanding RM613.13 juta pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan dalam perbelanjaan ini disebabkan terutamanya oleh peruntukan kos penggantian yang lebih tinggi, pengiktirafan susut nilai aset hak guna atas sewa carter kapal baharu di Bintulu Port dan pelunasan tambahan ke atas pajakan jeti LPG," katanya.

Bagi suku keempat 2021, keuntungan bersih Bintulu Port meningkat kepada RM296.81 juta berbanding RM24.87 juta, manakala hasil lebih tinggi sedikit kepada RM189.3 juta daripada RM186.41 juta sebelumnya.

Bintulu Port berkata bagi 2022, kumpulan itu menjangkakan adanya momentum positif pada pengeluaran kargo daripada sektor gas asli cecair, minyak sawit, pukal kering dan kontena dengan andaian ekonomi global terus pulih secara beransur-ansur daripada pandemik COVID-19.

Ia telah mengesyorkan dividen interim satu peringkat yang keempat sebanyak 3.00 sen sesaham berjumlah RM13.80 juta. "Jumlah dividen interim satu peringkat bagi tahun kewangan semasa ialah 12.00 sen sesaham.

Pemegang saham yang berada dalam daftar ahli pada penutupan perniagaan 25 Mac 2022, akan berhak menerima dividen itu," kata pengendali pelabuhan tersebut.

Tarikh pembayaran dividen ialah 14 April 2022.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post