Gadis 25 tahun korban baharu COVID-19 di Sarawak, kes hampiri angka 500

Gambar hiasan

KUCHING--Seorang gadis berusia 25 tahun di sini merupakan korban baharu COVID-19 di Sarawak, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini.

Jelasnya, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada 23 Februari 2022 yang mana jenazahnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Mangsa juga mempunyai latar belakang penyakit / Ko-morbid penyakit jantung," katanya.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan sebanyak 460 kes positif baharu COVID-19 direkodkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 258,412 kes.

Daripada jumlah itu, kategori 1 dan 2 adalah 451 kes dan selebihnya kategori 3, 4 dan 5.

"Kategori 1 (Tiada Gejala) 232 kes, kategori 2 (Gejala Ringan) 219, kategori 3 (Jangkitan Paru-paru) 3, kategori 4 (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Oksigen) 2, kategori 5 (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Ventilator) 4," ujarnya lagi.

Mengulas lanjut tentang kes positif itu, Kuching merekodkan jumlah tertinggi iaitu 177, diikuti Miri (97), Sibu (88), Kapit (26), Bintulu (16), Limbang (13), Sarikei (9), Kanowit (5), Pakan (5), Song (4), Saratok (3), Serian (3), Bukit Mabong (3), Samarahan (2), Betong (2), Meradong (2), Subis (2) dan satu kes masing-masing di Lawas, Bau dan Matu.

Selain itu, tiada kluster baharu dikesan hari ini menjadi kluster aktif kekal tiga di Sarawak.
Next Post Previous Post