Tiga beradik rentung dalam kebakaran di Lawas

Kebakaran di Kampung Seberang Kedai yang meragut nyawa tiga beradik di Lawas malam tadi. Gambar kredit Bomba Sarawak

LAWAS — Tiga kanak-kanak lelaki ditemukan rentung manakala enam ahli keluarga mereka selamat dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Seberang Kedai, di sini malam tadi.

Ketiga-tiga beradik itu adalah Mohd Hesdi Huzaidi Azrie, 4, Mohd Hezmi Huzaili,7, dan Mohd Hezry Huzaimi, 8. 


Manakala ahli keluarga yang terselamat adalah bapa dan ibu kanak-kanak itu iaitu Azrie Latip, 45, dan Dayangku Hadianawati, 38, serta dua adik-beradik, Ariesya Aryana,14, dan Muhd Hezrie,12.

Turut terselamat ialah datuk mereka, Awangku Jeman Pengiran Abd Hamid, 72, dan nenek, Aminah Matusop, 73.


Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11 malam, susulan itu tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lawas digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 17 kilometer dari balai bomba tersebut.


“Ketiga-tiga mangsa ditemukan rentung di bahagian tingkat bawah rumah.”

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat berstruktur separuh kekal yang telah musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 12.45 malam dan mayat kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post