Suri Rumah Maut Kemalangan

REMPUH: Keadaan kereta dipandu mangsa sejurus merempuh tiang lampu jalan dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Sebiew, hari ini.

BINTULU: Seorang wanita yang merupakan seorang suri rumah maut kemalangan selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu jalan dalam insiden yang berlaku di Jalan Sebiew pada jam 6.15 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu dalam kenyataannya hari ini berkata, mangsa dikenali sebagai Sylvia Remah Bujang, 31, beralamat di Taman Sri Pelabuhan.

Jelasnya, semasa dikeluarkan orang awam, mangsa masih lagi hidup, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang merawatnya semasa diberikan rawatan di wad kecemasan Hospital Bintulu pada jam 8.30 pagi.


Mangsa sebelum itu katanya telah dikejarkan ke Hospital Bintulu menggunakan kenderaan awam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati semasa kejadian, mangsa yang memandu dari arah Jalan Sebiew By Pass menuju ke pusat bandar.

"Sampai di lokasi kejadian, mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh tiang lampu di tengah jalan," ujarnya.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Next Post Previous Post