Remaja direman kes bunuh anak
KUALA TERENGGANU—Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun
ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu
siasatan kes seorang bayi lelaki yang maut dipercayai akibat ditikam di
Kemaman semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan
Kamaruzaman di Wad Bersalin Hospital Kemaman, setelah mendapat permohonan
daripada pihak polis bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan.
Tengku Eliana dilihat tiba di hospital berkenaan kira-kira
pada 12.40 tengah hari dengan diiringi anggota polis, dan difahamkan
proses reman dilakukan di hospital kerana remaja itu masih menerima
rawatan selepas bersalin.
Dalam kejadian pagi Selasa itu, bayi lelaki yang baharu
sahaja dilahirkan, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di dada,
dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam, di sebuah rumah di Felcra Seri
Bandi, Chukai di Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan
dilaporkan berkata polis menerima laporan daripada petugas kesihatan
kira-kira 10 pagi semalam berhubung kejadian itu, dan sebaik tiba di tempat
kejadian pihaknya merampas beberapa peralatan tajam yang mempunyai kesan
darah.
-- BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.