Kematian OKT tiada unsur jenayah - PDRM
KUALA LUMPUR—Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan
setakat ini terdapat tujuh kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dan siasatan
mendapati ia tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)
Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata daripada tujuh kes yang dilaporkan itu,
empat daripadanya merupakan kematian dalam lokap.
Katanya dua lagi kes meninggal dunia di hospital manakala
satu kes melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital.
“USJKT (Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan) JIPS
yang ditubuhkan pada 1 Jan lepas, memberi jaminan bahawa setiap kes kematian
dalam tahanan atau jagaan PDRM akan disiasat secara telus tanpa sebarang
kompromi.
“USJKT akan memajukan enam kes yang diklasifikasikan sebagai
kematian mengejut kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut
sama ada memerlukan inkues atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media khas di
Bukit Aman, di sini.
zri berkata bagi mengatasi masalah ini, PDRM mencadangkan
untuk mewujudkan klinik bersepadu di setiap lokap bagi memantau tahap kesihatan
OKT namun ia masih lagi di peringkat cadangan kerana ia memerlukan kos
yang besar.
“Prosedur operasi standard yang dibuat oleh PDRM setakat
ini, sekiranya ada OKT yang mengalami masalah kesihatan kami akan rujuk
kepada hospital berdekatan, “ katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai USJKT, beliau berkata
pihaknya akan mempertingkatkan integriti PDRM dalam siasatan kes-kes kematian
dalam tahanan.
Selain itu, Azri berkata JIPS akan mengurangkan salah
laku dalam kalangan anggota PDRM dan memastikan tindakan undang-undang diambil
jika terdapat bukti kukuh salah laku dalam kes ini.
“USJKT ditubuhkan adalah untuk mengembalikan keyakinan orang
awam terhadap PDRM dalam pengurusan kes kematian dalam tahanan. Jika berlaku
kematian dalam tahanan ia boleh menjadi kes yang sensitif maka inilah
peranan USJKT,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin
menyatakan USJKT ditubuhkan pada 1 Jan lepas
adalah untuk menyiasat kes kematian sewaktu berada di dalam tahanan
dan penubuhan bertujuan memperbaiki imej dan integriti PDRM.
-- BERNAMA