PPM rampas rokok bernilai RM1.47 juta

Pondok usang dijadikan stor simpanan rokok seludup
Gambar kredit FB PPM Wilayah Dua

IPOH -- Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 9,600 karton rokok putih dan 560 karton rokok kretek disyaki seludup dianggarkan bernilai RM1.47 juta termasuk cukai dalam Op Kontraban di sebuah rumah di Pasir Puteh, di sini malam tadi.

Komander PPM Wilayah Satu ACP Shamsol Kassim berkata bertindak atas maklumat awam, pihaknya menyerbu rumah tidak berpenghuni yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok berkenaan pada 8 malam.



“Selepas memantau selama 24 jam, didapati tiada individu tampil ke rumah tersebut.

“Oleh itu, polis terpaksa memecahkan pintu belakang premis berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemukan beberapa kotak rokok pelbagai jenis tanpa cukai kastam yang disimpan di setiap bilik dalam rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Shamsol berkata kesemua rokok jenama Paradox, D&J, Zon King dan DJarum Superwave yang disimpan dalam 199 kotak itu disyaki untuk edaran pasaran tempatan.

“Kesemua rokok telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.