Pilih sisi gelap demi habuan

KUCHING— Lapan lelaki warganegara Indonesia sanggup memilih jalan gelap demi habuan besar dengan menjadi operator judi online.

Namun, kesanggupan menggadai maruah diri demi upah antara RM1,300 hingga RM2,000 akhirnya memakan diri sendiri setelah ditahan polis pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsman Bajah berkata, pada jam sekitar 10.30 malam, dua serbuan serentak di lokasi yang berbeza telah dilakukan di sebuah kediaman jenis apartment di Jalan Song dipercayai menjadi pusat operasi dan pengurusan judi talian.

Beliau berkata, serbuan itu berjaya menahan lapan warganegara Indonesia dan kesemuanya adalah lelaki dalam lingkungan umur 15 tahun hingga 30 tahun.
“Siasatan mendapati suspek menjadi operator sejak September dan Oktober 2021 sehingga sekarang dengan gaji dalam lingkungan RM1,300 hingga RM1,500. Selain itu dibayar bonus berdasarkan keuntungan yang diperolehi.”

“Siasatan awal mendapati kedua-dua lokasi itu beroperasi 24 jam sehari dengan urusniaga transaksi berjumlah RM405,000,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ashman, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan di dua pusat operasi tersebut termasuk tujuh unit komputer pelbagai jenama, 11 buah telefon pintar, tiga unit modem dan tiga wifi router.

Siasatan lanjut mendapati sebahagian suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah manakala selebihnya memiliki passport tamat tempoh.

“Kesemua suspek yang ditahan disiasat di bawah seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya.


Next Post Previous Post