Permohonan bantuan khas pengusaha pelancongan dibuka esok

Salah satu lokasi inap desa di Uma Pawa, Long Urun Belaga. Gambar kredit FB MOTAC Sarawak

PUTRAJAYA— Permohonan bantuan kewangan tahun 2022 dengan peruntukan RM85 juta untuk lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dibuka mulai esok hingga 15 Mac ini.

Syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan (TOBTAB) dan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) akan dibayar RM9,000; pengusaha spa dan pusat urutan kaki (RM3,000); pemandu pelancong (RM1,500) dan pengusaha inap desa (homestay) RM1,800.

Gambar arkib

"Bayaran-bayaran ini akan dilaksanakan sebanyak dua kali mulai Mac dan Mei 2022," kata MOTAC dalam kenyataan hari ini.

Pada tahun lepas (2021), kerajaan melalui MOTAC telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM61 juta yang memanfaatkan seramai 29,286 penggiat industri pelancongan.

MOTAC berkata bantuan kewangan tahun 2022 itu adalah usaha berterusan kerajaan bagi membantu sektor pelancongan yang merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19.

"Diharap inisiatif ini dapat membantu industri pelancongan negara untuk terus berdaya saing seterusnya dapat membantu memulihkan semula sektor pelancongan negara," kata MOTAC yang telah menambah baik kriteria pemohon agar lebih ramai yang mendapat manfaat daripada bantuan tersebut.

MOTAC berkata ia menyasarkan 2022 sebagai tahun bagi industri bangkit semula daripada kegawatan perniagaan yang dialami sejak dua tahun lepas.

Semua pemandu pelancong, syarikat TOBTAB, MM2H, pengusaha spa dan pusat urutan kaki, pengusaha inap desa yang layak diminta mengemukakan permohonan kepada MOTAC secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi www.motac.gov.my.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post