PBB pelawa belia 18-28 sertai parti

Datuk Seri Fadillah Yusof 

KUCHING: Golongan belia berusia 18 hingga 28 tahun (1828) dipelawa untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam usaha merealisasikan penubuhan sayap baharu parti itu.

Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, belia boleh mula mendaftarkan diri untuk sertai sayap baru ini kelak melalui dalam talian di (https://gerakpbb1828.com/).

"Kita mendoakan agar Bengkel Strategik Gerak PBB 1828 yang berlangsung selama dua hari ini berlangsung dengan jayanya.

"Mana-mana belia berumur 18 hingga 28 tahun boleh mula mendaftarkan diri untuk sertai sayap baru ini kelak," katanya yang Menteri Kanan Kerja Raya menerusi Facebook rasminya hari ini.

 

Sementara itu, Naib Presiden PBB yang juga ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee berkata, PBB sedang mengadakan bengkel strategik dan libat urus bagi membincangkan penubuhan sayap baru parti itu melibatkan belia berusia 18 hingga 28 tahun.

"Melentur buluh biar dari rebungnya. PBB membuka pintu seluas-luasnya kepada anak muda untuk menyertai perjuangan ini untuk memajukan anak bangsa negeri Sarawak melalui wadah politik.

"Melalui bengkel ini, pelbagai idea, pendapat dan harapan dikongsikan oleh para peserta daripada Sayap Bapa, Wanita dan Pemuda serta yang paling penting adalah daripada para aktivis belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun persendirian," katanya.

Sehubungan itu, katanya, belia yang ingin mengetahui atau mengikuti perkembangan terkini penubuhan ini, boleh melayari Facebook Gerak PBB 1828 

Sebelum ini, Ketua Menteri yang juga Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, PBB akan menubuhkan sayap baharu dalam Mesyuarat Agung Parti PBB yang diadakan pada Jun nanti.

“PBB akan meminda perlembagaan parti susulan cadangan untuk mewujudkan sayap berkenaan dan sebuah jawatankuasa khas juga ditubuh,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, Parti PBB juga merupakan parti yang dinamik justeru, ahlinya sentiasa menyesuaikan diri dengan aspirasi golongan muda.

“Ini kerana Parti PBB berteraskan keadaan politik dan dasar ekonomi semasa,” katanya.
Next Post Previous Post