Maut dihempap kaca 5.6 tan
JASIN-- Seorang operator sebuah kilang di kawasan
Perindustrian Lipat Kajang di sini, maut dihempap kotak berisi kaca seberat 5.6
tan ketika sedang bekerja hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata mangsa,
Muhammad Umar Mohd Shahid, 23, disahkan meninggal dunia selepas cedera parah di
seluruh anggota badan dalam kejadian kira-kira 7.10 pagi tadi.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa
sedang menjalankan kerja mengikat kotak kaca di dalam sebuah kontena di kilang
tersebut.
“Mangsa yang sedang menjalankan kerja-kerja berkenaan
dikatakan terlanggar kayu penahan di dalam kontena menyebabkan kotak kaca itu
menghempapnya sehingga patah kedua-dua kaki, tengkuk serta cedera pada beberapa
anggota badan," katanya dalam satu kenyataan.
Mispani berkata mayat lelaki yang masih bujang berasal
dari Tangkak, Johor itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk
bedah siasat.
“Proses bedah siasat sedang dijalankan dan pengecaman mangsa
juga sudah dibuat oleh bapanya dan siasatan lanjut masih diteruskan. Kes
diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
-- BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.