Lelaki hilang hampir tiga bulan dijumpai tinggal rangka

​​​​​​​Polis mengangkat rangka Chrissie Hynde untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak.

KUCHING: Polis menemukan rangka manusia, dipercayai milik seorang lelaki yang telah dilaporkan hilang sejak November tahun lalu di sebuah rumah kedai di Malehah Central, Jalan Matang di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan berkata, rangka lelaki itu dijumpai oleh seorang kontraktor yang ingin melakukan penyelengaraan di bangunan tersebut sekitar jam 11 pagi.

"Berdasarkan barang peribadi yang dijumpai, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Chrissie Hynde Thompson Jamban berusia 28 tahun beralamat dari Taman Alamanda Indah, Jalan Belatok," katanya dipetik menerusi laporan Utusan Borneo Online hari ini.

Abang Zainal mendedahkan mangsa sebelum ini dilaporkan hilang oleh ibunya pada 15 November 2021.

Tambahnya, mangsa sebelum itu juga pernah memberitahu tidak ingin tinggal bersama keluarga serta ingin berdikari.

"Ibu mangsa juga memberitahu mangsa tiada sebarang selisih faham dengan keluarga," katanya.

Berikutan penemuan itu, beliau memberitahu, rangka mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, beliau turut mengesahkan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dijumpai di lokasi penemuan rangka mangsa.

Jelasnya lagi, pintu tempat tersebut juga berkunci dari dalam dan terpaksa dipecahkan untuk masuk ke dalam.

Selain itu, katanya pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan juga menganggarkan mangsa telah meninggal dunia lebih dari dua minggu dari tarikh dijumpai.

"Beberapa barang kepunyaan mangsa seperti kad pengenalan dan telefon bimbit turut ditemui di lokasi kejadian.

"Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat," tegasnya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.