Kantoi main judi dalam banglo


KUALA LUMPUR—Polis membongkar sindiket judi dalam talian dan penipuan yang menjadikan banglo sebagai pusat operasi kegiatan itu dalam serbuan di Jalan U-Thant di sini semalam..


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman SAC Mohamad Noor Yusof Ali berkata serbuan pada 3 petang itu turut menahan 33 lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia 18 hingga 48 tahun.

“Banglo ini dijadikan seperti asrama dengan makanan, minuman serta tukang masak turut disediakan dan kesemua operator ini tidak keluar dari premis ini,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi di premis yang disewa pada kadar RM20,000 sebulan tersebut sejak tiga bulan lepas dan polis turut merampas 42 komputer serta 256 telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

Menurut Mohamad Noor, siasatan awal mendapati mereka turut menyasarkan mangsa warga tempatan dan luar negara untuk membuat pertaruhan serta penipuan berbentuk pelaburan.

“Kita akan kenal pasti pemilik banglo ini dan akan dipanggil untuk membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/63,” 
katanya.

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post