Dua produk susu formula tercemar ditarik balik

Gambar kredit kpkesihatan

KUALA LUMPUR—Hanya dua produk rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat didapati terlibat berkaitan isu penemuan bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata siasatan KKM menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mendapati produk tersebut  adalah Alimentum (400g) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 sachets).

Beliau memaklumkan produk terlibat adalah dengan nombor kelompok yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kod bar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya.


“KKM telah mengenakan tindakan penolakan di semua pintu masuk negara ke atas produk terlibat.

“KKM juga telah menghubungi pihak syarikat Abbott Laboratories (M) Sdn Bhd dan mengesahkan bahawa pihak syarikat telah membuat penarikan balik produk terlibat yang berada di pasaran tempatan secara sukarela serta mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan institusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan produk tersebut,” katanya. 

Beliau berkata semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk itu perlu menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat.


Dr Noor Hisham berkata ibu bapa dan penjaga dinasihatkan mengenal pasti kelompok kod rumusan bayi itu serta berhenti menggunakan produk terlibat dan memantau kesihatan bayi serta mendapatkan rawatan segera sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum rumusan susu bayi itu. 

Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup dalam keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi serta jangkitan Cronobacter boleh menyebabkan meningitis atau sepsis.

Bagaimanapun, perkara itu jarang berlaku dan gejala yang ditunjukkan bayi termasuk demam, tiada selera makan atau kelesuan.

Dr Noor Hisham berkata KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna serta mengambil maklum laporan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan Amerika Syarikat (USFDA) mengenai penemuan bakteria itu dalam rumusan bayi. 

Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh menghubungi PKD atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat selain melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.