159 nelayan Vietnam didenda RM38 juta

Gambar arkib

KUALA TERENGGANU—Seramai 159 nelayan warga Vietnam dihadapkan ke mahkamah dan didenda keseluruhan RM38.25 juta selepas didapati bersalah menceroboh perairan Terengganu sejak Mac tahun lepas hingga Januari tahun ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kejayaan mensabitkan kesemua nelayan asing itu adalah hasil penguatkuasaan agensi berkenaan yang sangat memandang serius isu pencerobohan perairan negara bagi aktiviti menangkap hasil laut negara.

"APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang akan merugikan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua nelayan berusia 18 hingga 60 tahun itu ditahan menerusi Op Naga Barat dan Op Kuda Laut dan 15 bot mereka turut dirampas.

Menurutnya, 14 bot yang telah disabitkan kesalahan itu telah dilucut hak dan akan dilupuskan sebagai tukun tiruan manakala sebuah bot lagi membayar denda serta diusir ke negara asal.

Muhammad Suffi berkata pihaknya juga memandang serius penglibatan nelayan tempatan yang dipercayai bersekongkol dan menjadi tali barut nelayan asing. 

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim. APMM akan terus melaksanakan rondaan di perbatasan sempadan negara bagi mengekang pencerobohan nelayan asing yang tidak serik menjarah hasil laut tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku di perairan negara di talian MERS 999 atau 09-622 4357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.

Sementara itu, Muhammad Suffi turut menjemput orang ramai untuk mengunjungi Pameran Maritim Negeri Terengganu yang sedang berlangsung di Galeri Drawbridge di sini sejak 10 Feb hingga 10 Mac ini.

Katanya pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pameran senjata, kapal terbuka serta pemeran maya bertujuan untuk menerangkan tugas dan fungsi APMM selain memberikan tip kesedaran keselamatan di laut kepada orang ramai.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post