Dua mekanik terlepas tali gantung

Gambar hiasan

PUTRAJAYA— Dua mekanik yang menemani seorang ahli perniagaan dalam talian menaiki kereta untuk membeli alat ganti kereta, terlepas daripada hukuman gantung hari ini atas pertuduhan mengedar 971.6 gram Methamphetamine.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk Hanipah Farikullah melepas dan membebaskan Saiful Adly Zakaria, 40, dan Azrul Alias, 36, daripada pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan mereka.

Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin, yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata Mahkamah Tinggi tersilap dalam penemuannya bahawa kedua-dua lelaki itu mempunyai niat bersama untuk melakukan jenayah itu.

Beliau berkata tidak ada keterangan yang menunjukkan kedua-duanya mempunyai niat untuk mengedar dadah itu kerana mereka hanyalah penumpang kereta tersebut dan memutuskan sabitan kedua-dua lelaki itu adalah tidak selamat.

Turut bersidang Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Sementara itu, mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap ahli perniagaan dalam talian itu, Mohd Bukhti Shukran Abdul Rahman, 37, kerana mengedar dadah tersebut.

Ketika menolak rayuan Mohd Bukhti, Ahmad Nasfy berkata bukti menunjukkan kereta itu dalam jagaan ahli perniagaan tersebut selama sebulan sebelum kejadian.

Ketiga-tiga lelaki itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Ogos 2019 yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka kerana mengedar dadah di tempat letak kereta Aeon Big di Bukit Rimau di Shah Alam, Selangor kira-kira 6.20 petang pada 7 Ogos, 2017.

Mengikut fakta kes, Mohd Bukhti memandu keretanya dari Telok Panglima Garang di Kuala Selangor ke sebuah bengkel di Bandar Sunway untuk membaiki keretanya.

Dalam keterangannya, Mohd Bukhti berkata dia ke Aeon Big untuk bertemu dengan seorang yang dikenali sebagai "Boy" untuk mengambil alat ganti keretanya.

Ketiga-tiga lelaki tersebut pergi ke tempat itu dengan kereta yang dipandu Mohd Bukhti.

Bagaimanapun, sebaik tiba, sepasukan polis menggeledah kereta itu dan menemui sebuah kotak berisi dadah itu di tempat duduk penumpang belakang.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abdul Moin mewakili ketiga-tiga lelaki itu, manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling mewakili pendakwaan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post