Sisik tenggiling, lelaki didenda RM28 juta

SIBU — Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan denda RM28.20 juta atau penjara enam bulan jika gagal bayar kerana memiliki 28,181 sisik tenggiling, menurut Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Menerusi kenyataan, SFC berkata, Hakim Mahkamah Sesyen Marutin Pagan menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

“Dia didakwa mengikut Seksyen 29(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 kerana memiliki 22.14 kilogram sisik tenggiling di Kanowit, Sibu pada jam 10.30 pagi, 21 Januari lalu tanpa sebarang lesen atau kebenaran.

SFC menyatakan penghargaan kepada orang ramai dan agensi penguatkuasaan lain atas sokongan berterusan dalam memerangi jenayah hidupan liar di Sarawak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pihak yang menangkap, memburu, berniaga atau memelihara hidupan liar yang dilindungi boleh menghubungi SFC di 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu) atau 019- 8290994 (Miri).
Next Post Previous Post