750 kotak mercun dan bunga api bernilai lebih RM2.5 juta dirampas di Kuching dan Miri, dua ditangkap
KUCHING-- Sebanyak 750 kotak mercun dan bunga api dirampas dan dua lelaki tempatan ditangkap berasingan dalam Op Taring Bravo 1, Op Taring Charlie Dan Op Taring Batas yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di Kuching dan Miri.
Komander Briged Sarawak PGA SAC Dr Chee Ghazali Che Awang berkata, tangkapan pertama di Kuching sekitar jam 12.05 tengah hari semalam melibatkan seorang lelaki warga emas tempatan berusia 64 tahun di sebuah premis di sekitar Bandaraya Kuching yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan mercun dan bunga api
“Dalam serbuan dan pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 11 PGA, Kuching telah menemukan sebanyak 597 Kotak mercun dan bunga api yang disimpan di dalam premis tersebut.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,149,200.00 (mengikut harga pasaran),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada IPD Padawan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Tangkapan mercun dan bunga api kedua di Miri pula katanya, sekitar jam 2 petang semalam melibatkan sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 12 PGA, Miri ke atas sebuah premis di sekitar Bandaraya Miri yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan mercun dan bunga api.
“Di dalam serbuan yang telah dijalankan, pasukan serbuan telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 19 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 153 Kotak mercun dan bunga api yang disimpan di dalam premis tersebut.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM550,800.00 (mengikut harga pasaran) dan tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut,” tegasnya.
Jelas beliau, kedua-dua tangkapan itu disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 11 Akta Bahan Letupan 1957.
Dalam pada itu, Dr Chee Ghazali berkata, sepasukan polis dari Op Taring Batas Batalion 23 PGA, Sri Aman turut berjaya merampas 300 karton rokok putih di kawasan Kampung Temong Mura, Tebedu, Serian sekitar jam 5 petang semalam.
Katanya, semasa membuat rondaan pasukan telah menemui beberapa longgokan bungkusan plastik berwarna hitam di kawasan Kampung Temong Mura, Tebedu, Serian.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 300 karton rokok putih yang disimpan di dalam bungkusan tersebut dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM171,600 (mengikut harga pasaran),” ujarnya.