Anggota Komando berasal dari Matu terkorban akibat kepala air selamat dikebumikan

KUCHING-- Jenazah LKpl Mohd Afandi Jahwin, anggota dari pasukan 21 Komando, Kem Sungai Udang, Melaka berasal dari Kampung Jemoreng, Matu yang terkorban dalam insiden kepala air semasa melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand selamat dikebumikan malam tadi.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata, jenazah Allahyarham sampai di Lapangan Terbang Sibu pada 6.25 petang semalam dan seterusnya diterbangkan dengan pesawat EC725 TUDM ke Kampung Jamerong.


"Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jamerong pada jam 8.45 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, TDM mengesahkan kejadian kehilangan dua anggotanya semasa melakukan rondaan dalam operasi di Banding, Perak.


Jelasnya kejadian itu berlaku pada 30 November 2024 sekitar jam 8.00 pagi di mana satu laporan telah diterima memaklumkan bahawa terdapat sembilan anggota dipercayai telah dibawa arus dalam kejadian
kepala air semasa melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024 di Banding, Perak. 

"Dalam kejadian tersebut dua anggota didapati hilang iaitu LKpl Mohd Afandi Jahwin, merupakan anggota dari pasukan 21 Komando, Kem Sungai Udang, Melaka dan LKpl Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi, adalah anggota dari pasukan 22 Komando, Kem Iskandar Mersing.