Polis sahkan Perodua Alza lari dari diperiksa hingga sebabkan kemalangan maut

SARIKEI-- Polis mengesahkan Perodua Alza yang terlibat kemalangan hingga menyebabkan lapan terkorban di Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Sarikei-Sibu petang tadi cuba lari dari pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis yang mengesahkan kes itu berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.50 petang tadi melibatkan kenderaan Perodua Alza dan Toyota Hilux.

"Kemalangan ini berlaku apabila kenderaan Perodua Alza yang dinaiki oleh seorang lelaki tempatan bersama tujuh warga Indonesia cuba melarikan diri daripada pemeriksaan kereta peronda polis (MPV) dan telah memasuki laluan bertentangan bermula di lencongan Simpang Bulat. 

"Apabila sampai di Jambatan Sungai Nyelong, Lebuhraya Pan Borneo Perodua Alza tersebut telah bertembung dengan sebuah Hilux yang dinaiki oleh seorang lelaki dan seorang wanita," katanya dalam kenyataan malam ini.

Jelas Aswandy akibat pertembungan itu, kesemua pemandu dan penumpang Perodua Alza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan dari Hospital Sarikei.

"Manakala pemandu dan penumpang Hilux mengalami kecederaan ringan," tambahnya. 

Menurutnya lagi, mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat. 

Tegasnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan masih dalam siasatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Ahmad Mustaqim Idris di talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran. 

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang 
jalan raya bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain 
terjaga," ujarnya lagi.
Next Post Previous Post