Mangsa kes tembak di Sibu dirawat di hospital swasta stabil, suspek giat diburu

SIBU-- Mangsa kes tembakan di Sibu kini dalam keadaan stabil dan sedang mendapat rawatan di sebuah hospital swasta, kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan.

"Kes disiasat di bawah seksyen 307 kanun keseksaan, cubaan bunuh," tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut kes itu, Zulkipli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 2.20 petang semalam.

Katanya, polis dimaklumkan terdapat seorang lelaki mengalami cedera di tepi jalan, Lorong Wong King Huo 21, Sibu.

"Siasatan awal di tempat kejadian, telah berlaku satu kejadian melepaskan tembakan melibatkan mangsa berumur 46 tahun. 

"Mangsa mengalami cedera tembakan di bahu kanan," katanya sambil menambah hanya satu das tembakan dilepaskan oleh suspek.

Tegasnya, polis sedang giat mengesan suspek yang masih belum dikenal pasti.

Justeru, beliau menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian, diminta tampil menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Fazirul Mohd Fisol (013-8237737) bagi membantu siasatan.
Next Post Previous Post