Padah memandu dalam keadaan mabuk, seorang maut, seorang lagi parah

BETONG-- Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 388.2, Jalan Betong-Sarikei, berhampiran kawasan Simpang Ulu Teru, dekat sini pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Betong DSP Junical Ujal berkata, dalam kemalangan sekitar jam 8 pagi itu mangsa yang maut merupakan pemandu kenderaan Perodua Alza berusia 47 tahun berasal dari Bekenu.

Manakala, penumpang lelaki berusia 41 tahun cedera parah akibat kemalangan itu.

"Kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan masuk longkang simen berhampiran. 

"Kemalangan hanya disedari oleh orang awam yang melalui kawasan tempat kejadian.

"Akibat dari kemalangan tersebut, pemandu telah dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian, dan telah disahkan oleh Pegawai Perubatan pada jam 8.30 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa oleh pihak polis ke rumah mayat Hospital Betong bagi pemeriksaan lanjut.  



Manakala penumpang yang cedera parah dibawa ke Hospital Betong untuk rawatan lanjut.

Selain itu, Junical berkata, kenderaan mangsa, Produa Alza juga telah dibawa ke IPD Betong bagi siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, katanya siasatan awal mendapati kemalangan tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 7 pagi sebelum dijumpai orang ramai yang melalui jalan tersebut.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan dengan baik lalu terbabas ke sebelah kiri jalan berhampiran sehingga memberi kecelakaan pada diri sendiri dan orang lain.

"Mangsa iaitu pemandu juga dipercayai telah memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol hasil dari keterangan saksi kejadian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post