KK, Penampang dilanda bah

KOTA KINABALU-- Beberapa kawasan rendah di Kota Kinabalu dan daerah Penampang dilanda bah susulan hujan lebat yang berterusan semalam.

 

Akibat itu, beberapa jalan dilaporkan ditenggelami banjir berikutan hujan lebat yang bermula kira-kira tengah hari semalam.

 

Malah, bekalan elektrik juga terputus di kawasan yang terjejas akibat banjir yang mana air mula naik kira-kira jam 1.30 tengah hari.

 

Keadaan banjir ditambah buruk apabila bertembung pula dengan fenomena air pasang kira-kira pada jam 4 petang.




Sementara itu, ramai mangsa yang terjejas turut memuat naik video keadaan banjir di kawasan mereka di media sosial.

 

Dalam salah satu video, sebuah kereta dilihat diseret air banjir berwarna coklat, dipercayai berada di sebuah kompleks pangsapuri di Penampang.

 

Penduduk Penampang, Lester Dominic Mojiliu berkata, dia tidak dapat pulang ke rumahnya di Kampung Tanaki kerana laluan itu tidak boleh dilalui walaupun untuk kenderaan pacuan empat roda.

 

"Saya diberitahu oleh ahli keluarga dan rakan-rakan bahawa banyak tempat di Penampang dinaiki air.


“Saya juga mendengar daripada seorang rakan bahawa isterinya menghubunginya apabila kereta yang dinaikinya tiba-tiba terhenti ketika dia memutuskan untuk memandu melalui banjir.

 

"Dia bersama anak-anak mereka tetapi mujurlah suami berjaya datang dengan cepat dan mengeluarkan mereka daripada keadaan itu (yang mana keadaan di situ) arusnya agak kuat ketika itu," katanya.

 

Doktor haiwan Dr Randolf Paza berkata kawasannya di Limbanak, Penampang turut dinaiki air sepenuhnya, manakala bekalan elektrik turut terputus.