Rafizi dakwa nelayan jual diesel bersubsidi kepada kapal asing di tengah laut

KUCHING-- Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini menuduh ada nelayan menjual diesel bersubsidi kepada kapal-kapal besar negara asing untuk ditukarkan kepada ikan.

Pakar formula minyak itu dalam ceramah pengumuman calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang di Sungai Bakap, Pulau Pinang mendakwa tindakan nelayan itu salah satu punca ketirisan diesel dalam negara.
 
“Nelayan ini dalam skim subsidi jadi mereka boleh ambil minyak subsidi dari tangki mereka isi dalam perahu dan pergi ke tengah laut. 

“Di sanakan banyak kapal besar dari Vietnam dan China. Ikan mereka jauh lagi banyak dan jauh lagi besar.  

“Daripada susah-payah pergi tangkap ikan, ada juga rakyat kita pergi berdagang diesel di tengah pantai,” katanya dalam klip video yang tular semasa ceramahnya itu pada 12 Jun lalu.

Sementara itu, bekas Pegawai Najib Razak dan juga bekas Ketua Penerangan Umno Isham Jalil mencabar Rafizi mengenai dakwaan bahawa penyeludupan diesel juga berlaku di tengah laut.

Katanya, menteri itu cuba menuduh nelayan menjual diesel bersubsidi secara haram kepada kapal asing.

"Rafizi, kamu tahu ke apa kamu cakap ni?" soalnya lagi, merujuk kepada dakwaan menteri bahawa "perahu" nelayan digunakan untuk menyeludup minyak.

"Tak payah ambil 20 juta (liter), ambil 10 juta liter lah," kata Isham, memberikan andaian separuh daripada diesel diseludup berlaku di tengah laut.

"Kamu tahu tak, Rafizi, berapa puluh ribu bot perahu nelayan ini diperlukan untuk pergi ke tengah laut? Takkan APMM dan tentera laut tak nampak?" katanya, merujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Isham berkata Rafizi mungkin menyedari angkanya tidak masuk akal, menyebabkan menteri itu mendakwa penyeludupan dan ketirisan berlaku dalam negara dengan cara diesel bersubsidi dibeli di stesen minyak sebelum dijual secara haram kepada industri.

Berdasarkan dakwaan kerajaan bahawa kira-kira RM7 bilion hingga RM8 bilion subsidi hilang, Isham berkata ia bermakna 70% hingga 80% diesel yang dibeli pengguna di pam minyak telah dijual secara haram kepada industri.

"Stesen minyak di Malaysia ada lebih kurang 4,000. Kalau tengok, 7 daripada 10 stesen tu (terlibat) kecurian!"

Beliau turut mengingatkan Rafizi, tindakan itu tidak boleh dipanggil "penyeludupan" kerana ia berlaku di dalam negara. 

"Penyeludupan kena rentas sempadan," jelasnya.

Isham seterusnya mematahkan hujah Rafizi bahawa diesel bersubsidi dijual secara haram kepada sektor industri.

Menurutnya, ini kerana sektor industri menggunakan varian diesel yang lebih murah.

"Kita boleh bezakan diesel industri dengan diesel automotif. Kadang-kadang Petronas ataupun kerajaan taruh tinting untuk penguatkuasaan, dia tahu kalau orang tu jual ni, ni daripada pump, ni dari warna lain.

"Bukan senang orang nak curi-curi macam ni.

"Saya rasa sebab angka-angka bila dia dah terkantoi pasal penyeludupan, dia kata orang kita pergi curi diesel, jual industri pula," tambah Isham.
Next Post Previous Post