Mendiang Kpl Etin Bijam akan disemadikan di Makam Pahlawan, Kuching 7 Jun ini

MIRI-- Perwira Negara Kpl Etin Bijam yang menghembus nafas terakhir pada pagi Selasa di Hospital Umum Miri akibat barah paru-aru akan disemadikan di Makam Pahlawan pada 7 Jun ini.

Mendiang merupakan salah seorang penerima Pingat Bintang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke V Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Sha Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah pada 6 Julai 1972.

Beliau adalah anak jati Lubok Antu, telah mula berkhidmat sebagai Konstabel Polis pada 27 Februari 1963 di Batalion 18 Pasukan Polis Hutan (PPH) Miri, Sarawak. 

Menyingkap kembali peristiwa yang berlaku pada 29 April 1972, mendiang pada masa itu berpangkat Konstabel di Kem Batalion 18 Pasukan Polis Hutan (PPH), Miri bersama empat orang anggota termasuk seorang Koperal mengiringi sebuah lori Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membawa bahan-bahan letupan pemecah batu.

Semasa melewati jalan berliku dan masih diliputi hutan tebal dari Batu 30 ke Batu 43 Jalan Ulu Oya, Mukah Sarawak, beliau mula merasa tidak tenteram. 

Mereka telah diserang hendap oleh segerombolan pengganas komunis dan telah berlaku tembak menembak tanpa memperdulikan nyawa dan keselamatan diri, beliau dan Sub Inspektor (SI) Ngalinuh Bala yang pada ketika itu berpangkat Koperal melompat keluar dari tempat persembunyian dan meluru masuk ke kubu musuh sehingga beliau berjaya membunuh salah seorang daripada pengganas komunis tersebut. 

Menyedari keberanian dan semangat juang anggota keselamatan tesebut, pengganas komunis merasa takut dan melarikan diri.

Nama Koperal (Bersara) Etin Ak Jam telah terpahat sebagai seorang perwira yang sanggup berjuang demi maruah, bangsa dan Negara. 

Pergorbanan dan keberanian beliau ini mendapat penghargaan apabila beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormatan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke V pada 6 Julai 1972.

"Seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga mendiang dan mendoakan agar seluruh ahli keluarga mendiang tabah atas pemergiannya," kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Ibrahim Darus.

Pada masa sama, seluruh warga PDRM Kontinjen Sarawak menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga atas pemergian Pahlawan Negara mendiang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

Jelasnya, mendiang sebelum ini telah dimasukan ke Hospital Umum Miri pada 28 Mei 2024 jam 10 pagi, akibat sakit tua dan kanser paru-paru. 

Mendiang berumur 84 tahun telah disahkan meninggal dunia pada 4 Jun 2024 jam 6.49 pagi di Hospital Umum Miri. 

Kataya, jasad mendiang kini berada di rumah kediaman bagi urusan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Sementara itu, anak mendiang, Linda Nacha dipetik dalam laporan The Borneo Post hari ini berkata, mendiang bapanya itu akan disemadikan pada 7 Jun di Makam Pahlawan di Kuching.

Jelasnya, urusan penghantaran jasad mendiang dari Miri ke Kuching telah diuruskan menggunakan pesawat tentera yang dijadualkan berlepas esok hari.

"Saya diberitahu bahawa persiapan telah dibuat untuk menerbangkan mendiang bapa saya dan beberapa ahli keluarga kami (ke Kuching) melalui pesawat tentera," katanya.

Linda berkata, pihak keluarga telah meminta tempoh dua hari untuk membenarkan saudara mara, rakan dan wakil polis di sini memberi penghormatan kepada Etin.

“Saudara-mara dan rakan-rakan kami dari Engkilili dan bahagian lain di Sarawak berkata mereka akan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang bapa saya di Kuching, di mana pengebumian negeri akan diadakan sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Linda melahirkan rasa terima kasih kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada mendiang bapanya.

Menurutnya, Mancha, ditemani pegawainya, telah melawat Etin yang sakit di rumahnya awal tahun ini dan memberi jaminan kepada keluarga bahawa polis Sarawak bersedia membantu jika diperlukan.

"Dia memberitahu kami bahawa sekiranya bapa saya meninggal dunia, sebagai penerima anugerah SP, dia berhak menerima pengebumian negara dan keluarga boleh mempertimbangkan kemungkinan dia dikebumikan di Makam Pahlawan," katanya. .

Difahamkan kini hanya tinggal tiga penerima anugerah SP warga emas di negara ini.
Next Post Previous Post