Lelaki maut terlibat kemalangan, tercampak keluar lalu tersepit bawah kereta

MIRI-- Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan di simpang Ancarang Sekaloh, Jalan Pan Borneo Bintulu-Miri pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 10.41 pagi dan menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah ke lokasi.

"Setibanya pasukan di tempat kejadian mendapati sebuah kenderaan telah terlibat kemalangan kendiri yang datang dari arah Bintulu ke Miri.

"Kereta dipandu mangsa telah terbabas ke tepi gaung. Mangsa telah tersepit di bahagian bawah kereta dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian bawah kereta. 

"Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan pada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya," jelasnya.

Tambahnya, setelah keadaan didapati benar-benar selamat pasukan bomba lapor bertolak balik ke balai.

Mangsa dikenali sebagai Ericson Tanyit Usang berusia 22 tahun dan beralamat di Jalan Kuching Timur 3, Taman Tunku, Miri.
Next Post Previous Post