Kemalangan berantai di Siniawan, dua beranak maut, pemandu lori 'ghaib'

KUCHING-- Dua beranak maut dalam kemalangan berantai melibatkan empat kenderaan di Jalan Taman Siniawan, Bau, petang tadi. 

Dalam kemalangan tragis itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Atong Nebok, 64, dan anaknya Wilson Atong, 36.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 2.54 petang dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi.

"Setibanya di lokasi mendapati berlaku kemalangan berantai melibatkan sebuah lori, van dan dua kereta yang mana terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta Kancil.


"Kemudian pasukan membuat operasi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit itu," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kedua-dua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kemalangan.