Lelaki tipu wang OKU diburu

KUCHING-- Polis kini giat memburu seorang lelaki yang dipercayai menipu dan mencuri wang milik mangsa orang kelainan upaya (OKU) hingga menyebabkan kerugian RM124, 000.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi mengesahkan polis telah menerima laporan daripada mangsa berusia 55 tahun semalam.

"Siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Padawan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dan dengan sebatan, dan juga boleh dikenakan denda.

"Pihak polis sedang berusaha
mengesan suspek bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, mangsa berkongsi kisah dukanya itu di Facebooknya setelah menjadi mangsa penipuan suspek yang merupakan saudara kepada isterinya.

Suspek yang berasal dari Kampung Seropak@Seropang, Bau didakwa telah memperdaya mereka sekeluarga yang berpura-pura bersikap prihatin dan membantu mereka berulang-alik ke hospital.

"Sampai hati kau mengambil wang OKU @ Orang Kurang Upaya seperti saya dan anak saya yang juga OKU @ Down Syndrome sejak lahir.

"Saya OKU sejak kemalangan menimpa saya pada awal tahun 2020.
Kau mencuri duit di BSN anak saya yang OKU sebanyak RM 36, 719. 33 pada 9 Mei 2023," kongsinya.

Tambahnya, suspek pada 19 Februari 2024 telah mengambil wangnya di Public Bank melalui kaunter sebanyak RM48, 000.

"Dan pada 28 Februari 2024 kau mengambil wang saya di Public Bank juga melalui kaunter sebanyak RM40, 000.

"Ini selepas kamu membawa saya ke Rehab Hospital Kuching. Kau tanya saya mahu ambil wang menggunakan kad pengenalan di kaunter saya disuruh imbas cap jari.

"Kau berpura-pura menyuruh saya masuk ke dalam kereta kononnya saya tidak tahan duduk dan berdiri di dalam Public Bank dan tidak tahan sejuk. 

"Saya dibawa masuk ke dalam kereta. Saya mahu keluarkan RM2, 000 tetapi sebaliknya di kaunter kau keluarkan RM40,000.

"Sesudah selesai licik kau, kau bagi saya RM2, 000, kau mengambil RM38, 000," jelasnya.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu seminggu selepas itu apabila dia bersama saudaranya pergi ke bank tersebut untuk membuat semakan.

"Ternyata betul wang saya sebanyak
RM88, 000 diambil oleh kau. Kesemuanya berjumlah RM124, 719. 33.

"Saya dan isteri saya mempercayai kau untuk ulang alik membawa saya jumpa doktor dan membawa anak lelaki istimewa saya ke PPDK kerana kau ikhlas menolong kami dan kami memberi kau RM50 termasuk makan dan minum percuma sekali berjalan. 

"Lagipun kau saudara isteri saya sebelah mendiang arwah mentua perempuan saya. 

"Kami tidak sangka yang kau ada niat jahat untuk mengambil kesempatan dan peluang sebegini.

"Kamu mengambil wang kami.
Itu sahaja wang kami sekeluarga ada.
Di mana kami dapat wang lagi.

"Di BSN Wang Bantuan dan EPF saya semasa umur saya 50 tahun untuk keperluan anak istimewa saya.

"Wang di Public Bank ialah wang Insurans saya. Saya bertarung nyawa di ICU Hospital Kuching selama dua minggu lebih koma.

"Saya belum normal lagi selepas daripada ICU ke katil di Wad Hospital Kuching selama 4 bulan. Sehingga sekarang saya masih OKU. Saya dan isteri saya sangat sedih sekarang," ujarnya.

Justeru, dia berharap agar suspek dapat dihadapkan ke muka keadilan dan dihukum sewajarnya.
Next Post Previous Post