Pembantu Jurujual 19 Tahun Maut, Motosikal Ditunggang Bertembung Pikap

LAWAS-- Pembantu Jurujual lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan pikap di Kilometer 8 Jalan Lawas-Merapok berdekatan simpang Kampung Long Tuma di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu mangsa dikenali Muhammad Irfan Hairun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Liong Tindan berkata, sebuah pikap Toyota Hilux datang dari arah Merapok ke bandar Lawas.

"Secara tiba-tiba sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh mangsa dari arah bandar Lawas ke Merapok telah terbabas dan terjatuh memasuki laluan bertentangan.

"Pemandu pikap tidak dapat mengelak kerana terlalu dekat lalu melanggar mangsa dan seterusnya terbabas ke luar jalan raya dan hampir terbalik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Lawas manakala pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semasa kejadian, hujan lebat dan jalan raya gelap tidak berlampu.Pikap terbabit mengalami rosak seluruh bahagian manakala motosikal yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian depan," ujarnya.

Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
Next Post Previous Post