Pakai "lesen" polis angkut PATI, bekas polis kena penjara dua tahun

KUCHING-- Padah angkut pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke Sarawak melalui jalan sawit di Sri Aman, seorang bekas anggota polis dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Memetik laporan Suara Sarawak, Hakim Alexander Siew How Wai menjatuhkan hukuman itu selepas Dullah Nulhadi mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif yang dibacakan terhadapnya. 

Berdasarkan pertuduhan alternatif, bekas polis itu didakwa di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dia dituduh mengangkut tiga PATI dari Indonesia masuk ke negara ini menggunakan sebuah kereta sedan ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya KM 9, Jalan Sri Aman-Betong, sekitar jam 4.50 petang, 13 Jun 2023.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, sekitar jam 4 petang, 13 Jun 2023, pengadu merupakan pegawai polis bersama pasukannya terlibat dalam Op Tutup ternampak sebuah kereta sedan yang mencurigakan melalui sekatan jalan raya.

Ketika pemeriksaan dibuat, tertuduh mengaku sebagai anggota polis dari sebuah balai dan hasil semakan mengesahkan dia adalah anggota polis.

Malah, tertuduh meminta kebenaran untuk melalui sekatan jalan raya itu untuk membawa penumpang warga Indonesia tetapi telah diberi amaran oleh pengadu supaya tidak melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, dan seterusnya dibenarkan melalui sekatan tersebut.

Bagaimanapun, pada jam 4.50 petang, tertuduh sekali lagi melalui sekatan jalan raya yang sama untuk membawa tiga PATI Indonesia menggunakan kereta sedan yang sama, seterusnya ditahan polis untuk diperiksa.

Hasil siasatan mendedahkan ketiga-tiga PATI itu telah masuk ke Malaysia menggunakan laluan hutan dan tertuduh telah menunggu di sebuah pondok pengawal sebuah ladang kelapa sawit untuk mengambil pendatang tanpa izin.

Selain itu, kesemua PATI yang dibawa menyatakan bahawa kenderaan yang dinaiki mereka adalah dipandu oleh tertuduh.

Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengangkut tiga orang PATI Indonesia masuk ke negara ini menggunakan sebuah kereta jenis sedan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili Peguam Simon Siah.
Next Post Previous Post