Kes ragut di Taman Desa Wira: Polis buru seorang lagi suspek yang berjaya larikan diri, seorang sudah ditangkap

KUCHING-- Polis kini giat memburu seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri dalam kes ragut melibatkan seorang mangsa wanita di Taman Dewa Wira, Batu Kawa pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, seorang daripada dua suspek berjaya ditangkap oleh orang awam di lokasi kejadian.

"Dalam insiden ragut ini, seorang mangsa wanita tempatan berusia dalam lingkungan lewat 50-an mengalami kecederaan ringan semasa diragut di Taman Desa Wira, Batu Kawa.

"Dalam kejadian pada jam 7.54 pagi, mangsa semasa sedang berjalan kaki di tepi jalan telah didatangi sebuah motosikal berwarna merah dari arah belakang yang dinaiki oleh dua suspek lelaki yang telah bertindak meragut beg sandang milik mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Lim berkata, mangsa berusaha untuk mempertahankan begnya daripada dilarikan oleh suspek.

"Dalam masa yang sama sebuah kenderaan yang dipandu oleh orang awam telah berhentikan kenderaannya di hadapan motosikal saspek tersebut dan telah berjaya menahan salah seorang daripada saspek bersama dengan sebuah motosikal," katanya.

Tambahnya, bagaimanapun seorang daripada suspek berjaya melarikan diri. 

Tegasnya, suspek yang ditangkap diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 

"Susulan insiden ini, mangsa mengalami sedikit luka dan calar semasa pergelutan berlaku namun tiada kecederaan serius dialami," ujarnya.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an dan merupakan orang tempatan. 

"Suspek yang telah berjaya ditahan akan direman di Mahkamah Kuching pada esok untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau memberitahu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera semasa melakukan samun ragut. 

Tegasnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 20 tahun dan dengan sebatan. 

"Usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

 "Saya mengucapkan terima kasih ke atas tindakan orang awam tersebut dan mengalu-alukan apa jua bentuk maklumat yang dapat membantu pihak PDRM," ujarnya.
Next Post Previous Post